Wednesday 30 December 2015

Saya dan 2015

Dalam tak sedar , tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya . Masa berputar begitu pantas ,kadangkala menyebabkan kita sering terleka diulit 'mimpi-mimpi' yang indah walhal ia dusta semata-mata.

Suka dan duka. Senyuman dan tangisan. Ketawa dan meraung. Itulah episod kehidupan kita sepanjang tahun 2015.

Jangan pernah menyesal atas kesilapan yang dilakukan. Jika ia baik , jadikan ia sebagai kenangan. Jika ia buruk , jadikan ia sebagai pengajaran. Tugas kita adalah belajar dari kesilapan.

Lupakan masa lalu yang mampu mengaburi impian dan harapan. Langkah dengan semangat baru untuk terus berjuang di bawah langit illahi.

Saya dan 2015.

Ya. Perjalanan saya dan 2015 terasa begitu pantas berlalu. Baru semalam rasanya saya daftar masuk ke sekolah sebagai pelajar paling senior dan kini tanpa disedari saya telahpun tamat menjadi seorang pelajar sekolah.

Sememangnya menjadi seorang pelajar sekolah perkara yang cukup indah terjadi dalam hidup saya. Berdamping dengan kawan, guru dan adik2 junior membuatkan saya belajar banyak perkara baharu.

Saya begitu bersyukur kerana masih berpeluang untuk 'berjalan ' bersama 2015. Walaupun jalan yang saya lalui tidak selalunya indah ditaburi bunga sahaja malah kadang-kadang saya juga pernah terpijak duri dan menyebabkan terluka.

Saya tahu dan saya percaya duri dan luka itu yang mengajar saya erti kehidupan sebenar sekaligus melahirkan jiwa yang semakin matang walaupun saya tidak matang sepenuhnya lagi. Hehe.

Markah peperiksaan jatuh merudum. Kalah dalam pertandingan. Menghadapi konflik dengan kawan dan junior. Memikul tanggungjwab yang berat atas jawatan yang dipegang. Terpaksa berdepan dengan orang yang tidak memahami kita.

Ya. Itu semua adalah masalah saya , awak dan kita. Tipu jika saya kata yang saya tidak pernah menangis. Saya menangis !

Menangis kerana tidak mampu membuka ikatan untuk menyelesaiakan masalah. Menangis kerana saya takut orang benci saya atas apa yang saya lakukan. Menangis kerana malu jatuh tersungkur dalam peperiksaan. Menangis kerana saya tidak dapat apa yang saya inginkan.

2015 bukanlah dilimpahi dengan lautan air mata sahaja tetapi juga dihiasi dengan berjuta kegembiraan.


Pelbagai peristiwa menarik yang memenuhi tahun 2015 saya. Alhamdulillah dan syukur. Ia adalah satu nikmat dan ujian daripada Allah supaya saya terus bangkit menjadi seorang hamba yang mentaatiNya.

Saya gembira dengan kelahiran puteri kakak saya yang diberi nama Sarah. Terharu mendengar khabar baik dari abang saya mengatakan isterinya sudah mengandung dan kini hampir menunggu saat bersalin. Suka dan teruja apabila lulus dalam addmath walaupun hanya cukup makan. Dan paling gembira apabila melihat insan tersayang turut gembira.

Itulah realiti kehidupan. Suka atau tidak, kita harus menempuh arus perjalanan hidup kita yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tahun 2015 mengajar saya tentang erti kehidupan yang sebenar. Dalam meniti usia yang semakin meningkat , minda saya perlu terbuka, jiwa saya harus dibajai dengan keimanan yang mantap agar saya sentiasa bersedia dalam melakar sebuah kehidupan yang lebih baik.

Terima kasih 2015.
Hadirmu membawa sejuta khabar gembira,
Walau diselit sedikit kesedihan.

Terima kasih 2015.
Hadirmu mengajar aku dalam mentafsir erti kehidupan,
Kemunculanmu mendidik aku untuk terus berdiri.

Terima kasih 2015.


Semoga tahun yang akan datang membawa rahmat dan barakah daripadaNya.


Assyratul,
30 Dec 15,
Rumahku Syurgaku








Thursday 24 December 2015

Rasulullah Pencerah Alam

Petang yang hening dihiasi dengan redupan matahari yang ingin terbenam. Angin menyapa diri membuatkan jiwa semakin tenang.

12 Rabiul Awal tahun gajah lahirlah insan mulia yang tinggi darjatnya di sisi Allah. Rasa syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah mencipta manusia yang cukup luar biasa. Pembawa petunjuk bagi seluruh umat, penerang jalan dari kegelapan dan menghiasi dunia dengan cahaya yang cukup indah.

Ya Rasulullah,

Hadirmu membawa cahaya,

Menerangi gelap,

Menghiasi dunia,



Ya Rasulullah,
Kau pemimpin umat,

Pemimpin agung pembawa petunjuk,

Dilimpahi barakah dan rahmat Illahi.




Ya Rasulullah,

Kau sungguh istimewa ,

Akalmu cukup tajam, 

Merangka strategi

Dalam menentang musuh islam.



Ya Rasulullah,

Butir bicaramu bak mutiara,

Tingkah lakumu santun lagi mulia,

Kau contoh teladan terbaik

Buat manusia




Ya Rasulullah,

Kami rindu padamu,

Kami dambakan syafaatmu,

Sudikah engkau bersua muka dengan kami ?

Kerana itu impian tertinggi kami.



Salam Maulidur Rasul 



Rumahku syurgaku
12 rabiul awal 1437h




Friday 18 December 2015

tinta buat sahabat

Hari itu.

"Minta maaf kalau ada buat salah ye. Selalu la contact. Terima kasih untuk segalanya. Mesti awak rindu saya nanti kan." Itulah kata-kata terakhir yang keluar daripada mulut seorang sahabat saya.

Terakhir ? Mungkin ya dan mungkin kami akan berjumpa lagi. In sha allah. Moga-moga Allah permudahkan.

30 November 15

Kami telahpun tamat digelar sebagai pelajar sekolah memandangkan tamatnya peperiksaan SPM bagi tahun 2015. 

Sedihkah ? Gembirakah ? Sukakah ? Sebakkah ?

Semuanya bermain di dalam jiwa saya. Tidak tahu bagaimana ingin digambarkan perasaan pada waktu itu.

 Melihat sahabat-sahabat seperjuangan mengangkat beg-beg masing ke dalam perut kereta. Melihat mereka bergerak ke arah saya lalu menghulurkan salam. Kami masing-masing berpeluk. Menatap senyuman di wajah comel mereka. Tersenyum sambil melambai-lambai tangan ke arah saya.

Jiwa saya bagai direntap pilu. Tidak sanggup menghadapi perpisahan jasad dengan sahabat yang sentiasa menemani tika susah dan senang.

Ya , mereka adalah sahabat dunia akhirat saya !

Lama kami berjuang bersama-sama. Pahit manis, suka duka semua dikongsi dan diluahkan bersama. Walau ada sahaja cabaran dan rintangan, kami tetap bersatu dan 'satu kepala'.

Lumrah dan biasa jika dalam sebuah perhubungan antara sahabat ada sedikit selisih faham, umpat-mengumpat, kata belakang, perang dingin, perang mulut. Macam-macam ada. Cuma bezanya cara kita selesaikan semua itu bagi melihat hubungan persahabatan kita kekal terjalin dengan indah

Tapi ikatan persahabatan kami tidak pernah goyah kerana bendasing-bendasing negatif itu hanya sekejap sahaja masuk ke dalam ruang hubungan persahabatan kami.

Apa rahsianya ?

Ya. Saya mengakui sahabat-sahabat saya ini tidak pernah jemu mengungkap kata 'MAAF'

Itulah rahsianya persahabatan kami hanya dingin sementara. Tak lama sangat. Eh, ye k ? 

Saya memang tidak menafikan ungkapan indah itu sering kali hinggap di bibir mereka menyebabkan kadang-kadang saya cukup tersentuh. Keliru.

Kadang-kadang saya tahu saya yang salah tapi mereka dahulu yang datang kepada saya dan memohon maaf.

"minta maaf deh kalau ada buat salah"

"maaf pasal tadi. tak sengaja"

"eh, ada terasa dgn saya k ? minta maaf ye"

"bakpe ni. Sorry kalau saya buat awak jadi gini "

"takde niat pun nak kata gitu. maaf "

Itulah antara dialog yang masih berlegar-legar dalam fikiran saya. Orang kata ungkapan maaf itu perlu ikhlas. Dendam dan benci dibuang. Saya yakin mereka ikhlas. Dari renungan mata malah ada yang menangis memohon maaf sesama sendiri. Yakin mereka benar-benar memohon maaf dengan seikhlas hati.

Jujur saya katakan perkara yang paling saya takuti ialah apabila ada segelintir sahabat yang bersikap dingin terhadap saya. Tidak senyum apatah lagi menegur.

Saat itu jiwa saya tidak keruan. Fokus belajar hilang. Jika sewaktu peperiksaan dijalankan hanya 50% sahaja saya fikir tentang soalan. Sebahagian yang lain saya berfikir tentang mereka.

Saya takut jika kerana tingkah laku saya menyebabkan mereka berkelakuan begitu. Saya bimbang jika lincahnya bibir bertutur sehingga menyebabkan ada yang terasa.

Maafkan saya sahabat.

Dan perkara yang paling bahagia bagi saya dalam sebuah persahabatan adalah melihat mereka tersenyum riang, bergurau senda dan ketawa bersama.Itu adalah kenangan yang paling terindah dalam hidup saya.

Bahagia melihat sahabat asyik berceloteh tentang diri dan keluarga masing-masing. Geli hati bila teringat kembali saat-saat yang melucukan bersama mereka. Bagi saya tak perlu saya nak tengok rancangan lawak kerana kawan saya lebih lawak daripada pelawak-pelawak yang terkenal.

Mereka adalah penghibur saya ketika di sekolah bahkan hingga sekarang mereka tidak pernah berhenti mencuit hati saya tatkala kami ada 'whatsapp group' (ladies only) Itu adalah satu medan baharu yang merapatkan lagi ukhwwah antara kami.

Terima kasih sahabat.



Mereka bawa saya menuju Tuhan yang Esa.

Solat jemaah.

Walaupun tidak kerap tapi kami cuba sedaya upaya untuk solat berjemaah bersama-sama malah di dalam dorm yang tidak luas itu bukanlah satu alasan untuk kami tidak solat berjemaah.

Selepas solat diikuti pula dengan zikrullah dan alunan bacaan al-quran.

Saya bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang tidak liat untuk solat bahkan menjadikan al-quran sebagai peneman hidup.

Memandang wajah mereka sudah cukup membuatkan hati saya tenang.

Memori yang paling saya tidak pernah lupa adalah berjalan bersama sahabat saya ke surau sekolah. Walau mulut tidak pernah berhenti berbunyi merungut kerana penat berjalan memandangkan surau dengan asrma agak jauh dan kami terpaksa melalui jalan yang lagi jauh ketika hari hujan tapi sahabat saya tidak pernah mengajak saya untuk patah balik.

Teringat lagi, kami sentiasa berlari dengan memakai telekung kerana mengejar iman yang sudah hampir memberi salam.

Selepas solat maghrib, kami dihidangkan dengan kuliah maghrib daripada ustaz yusof. Ada yang fokus kepada kuliah. Ada yang berbual sesama sendiri malah ada yang tersengguk-sengguk dan tertidur (termasuk saya )


Saya rindu !


Maafkan saya sahabat.


Saya tidak mampu menjadi sahabat yang sentiasa menenangkan kalian kerana saya juga masih tercari-cari secebis ketenangan. Saya tidak mampu meniup semangat kalian sepanjang masa kerana saya juga pernah hilang semangat itu. Saya juga tidak menjadi penglipur khabar gembira kerana kalian terlebih dahulu memberi sejuta khabar bahagia kepada saya.

Tapi percayalah sahabat, biar apapun kelemahan saya , ingin sekali saya ke syurga dengan kalian.

Terima kasih sahabat :)

Lillahi , kalian sahabat saya dunia akhirat !

Buatmu sahabat,
Ku ingin kau tahu,
Aku mencintaimu kerana Allah.

Ayuh berjuang mencari redha Illahi,
Agar kita mampu berpimpin tangan ke syurgaNya.


semoga ikatan ini terus terjalin dengan kasih sayang dan rahmat daripadaNya




Assyratul,
18 dec 15
Rumahku Syurgaku