Saturday 26 March 2016

Menulis itu perlu dari hati

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum semua :)

Sudah lama rasanya jari jemari saya tidak mencoretkan sesuatu di dalam blog ini. Saya rindu ! rindu untuk menulis meluahkan apa yang terbuku di hati. Macam-macam rasa dan cerita saya peram di minda cuma masih belum ada masa yang sesuai untuk saya luahkan lagi.



Menulis itu perlu dari hati

Ya. Bagi saya menulis sesuatu daripada hati amat penting kerana kita  menulis atas apa yang kita rasa bukan kerana terpaksa ataupun suruhan daripada orang lain. 

Perbezaan yang ketara dan jelas dapat dilihat sekiranya kita menulis bukan dari hati. Kadang-kadang kita sendiri pun malas baca dan sakit hati dengan hasil penulisan kita apatah lagi pembaca-pembaca yang lain.

Berbeza jika kita menulis dari hati. Kita akan dapat rasa kelainan dan puas atas apa yang kita tulis. Kita rasa seronok dan akan ulang hasil pembacaan hasil penulisan kita. Dan yang paling penting orang lain turut merasai tempiasnya. 

Pembaca lain akan membaca dengan penuh penghayatan dan apa yang kita tulis sampai kepada mereka hingga ke pelosok hati.

Nah, itu impian kita kan ?

Impian kita sebagai penulis agar orang lain akan dapat merasai dan mendalami karya kita dengan sepenuh penghayatan. Impian kita agar tulisan kita memberi manfaat kepada insan lain sama ada di dunia mahupun akhirat. Impian kita supaya Allah memberkati atas apa yang kita lakukan kerana kita menulis seikhlas hati.

Maka, tulislah sesuatu daripada hati agar segala yang tertulis sampai ke seluruh jiwa-jiwa insan yang membacanya.

Selamat berkarya semua :)

Ikhlaskanlah hati dalam mencoretkan sesuatu. In sha Allah kita akan memperoleh sesuatu luar daripada jangkaan kita.


Assyratul,
26 Mac 2016




Thursday 11 February 2016

Kerana kita bersaudara

Petang yang indah, awal putih kelihatan berarak-arak memenuhingit Illahi. Matahari masih lagi menggalas 'tanggungjawabnya' menyinari seluruh sudut bumi, Memandangkan hari itu adalah hujung minggu, rumah nenek menjadi wadah untuk kami sama-sama mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan agar lebih kukuh dan terpelihara.

Kebiasaannya ada sahaja juadah yang terhidang untuk sama-sama kami nikmati di beranda rumah nenek sambil berkongsi episod kehidupan keluarga masing-masing.Sepupu saya yang masih kecil memilih untuk berada di dalam rumah sambil menatap skrin objek yang bisu itu. Masing-masing terlalu khusyuk menfokuskan anak mata bermain game sehingga gadjet-gadjet mereka kehabisan bateri.

Saya yang jarang-jarang bersua mata dengan mereka akibat kekangan jarak, mengambil peluang untuk lebih dekat dengan mereka supaya ikatan ini kekal terjalin sehingga menginjak usia emas. Saya mula menapak ke dalam rumah lalu mengajak mereka untuk bermain bersama-sama.

"Sape nok main dengan Kak Teh ? Mari kita turun tanoh."Saya mempelawa mereka sambil mengukir senyuman. 

 "Nak-nak. Nak main ape ?"Ainul bersuara girang seolah-olah terlalu excited menerima ajakan saya walhal saya sendiri masih lagi ligat berfikir permainan apa yang paling sesuai untuk kanak-kanak seusia mereka.

"Kak Teh, kita main explorace deh. Acik pernah main dengan kawan acik."Asyraf adalah yang paling tua menyuarakan pendapat.

Ikhwan dan Arfan turut bersemangat untuk bermain dengan kami walaupun mereka pun tidak mengetahui apa itu explorace sebenarnya. 

Saya bersetuju lantas mencari bahan-bahan untuk dijadikan harta karun. Saya menyuruh mereka untuk tunggu di dalam rumah sementara saya menyorokkan barang-barang tersebut. Mereka kelihatan bergitu teruja sehingga beberapa kali keluar untuk melihat saya sudah sedia ataupun tidak.

Selang beberapa minit, saya memanggil mereka turun dan berkumpul di luar pagar rumah. Semua kelihatan bersemangat berlari meluru ke arah saya. Melihat telatah mereka, hati disapa rindu dan sayu apabila terkenang detik-detik saya sewaktu seusia dengan mereka. Saya tersenyum sendiri :)

"Sakit-sakit, ada semut gigit Ainul !Jerit Ainul sambil melompat-lompat. Ternyata kawasan itu dipenuhi dengan semut gatal. Belum sempat saya ingin mendapatkan Ainul, Asyraf abangnya terlebih dahulu bergegas sambil menundukkan sedikit badannya untuk membuang semut yang menggigit kaki Ainul. Dia langsung tidak berganjak selagi semut itu masih ada di kaki Ainul. Dia mengetuk-ngetuk selipar Ainul bagi memastikan tiada lagi semut gatal yang cuba menyakiti adiknya.

"Takdok dah. Acik buang doh,"Dia bersuara sambil menghulurkan selipar merah jambu kepada adik perempuannya.

MELINDUNGI DAN MENGUBATI

Melihat situasai mereka 2 beradik membuatkan saya dijentik rasa kagum dan bangga dengan seorang abang yang saya kira masih lagi bawah umur begitu mengambil berat akan keselamatan adiknya.

Ya saya memang tidak menafikan, masih ramai kakak dan abang di luar sana sentiasa mengatur sinergi dalam melindungi adik-adiknya agar terus selamat dan terpelihara daripada segala malapetaka. Masih ramai juga kakak dan abang di luar sana berhempas pulas mengubati adik-adiknya ketika melihat derita yang ditanggung oleh adiknya.

Kerana apa ?

Ya. Kerana kita bersaudara. Kerana kita dilahirkan dari rahim yang sama.

Bersyukurlah kerana kita dipinjamkan oleh Allah dengan kehadiran ahli keluarga yang sentiasa bersedia melindungi dan mengubati kita biar apapun cara.

MENEGUR DAN MENASIHATI

Abang dan kakak adalah insan yang sentiasa menegur dan menasihati kita disaat kita tersilap langkah dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka tidak jemu berkongsi pendapat , meluahkan pandangan serta cadangan dan sentiasa memberi suntikan semangat agar kita sebagai ahli keluarganya tidak 'tergelincir' di pertengahan jalan.

Belajar Menghormati dan Menyayangi

Jika kita lihat, ramai di kalangan kita hari ini lebih menghormati dan menyayangi orang 'luar' daripada keluarga sendiri. Contohnya, ramai di antara kita dan kadang-kadan termasuk saya sekalipun, lebih menjaga hati kawan berbanding keluarga sendiri. Kadang-kadang, kita berlembut apabila bertutur dengan orang lain tetapi berkasar bila bercakap dengan ahli keluarga sendiri. Kadang-kadang juga, kita sentiasa menghiasi bibir dengan senyuman apabila bersua mata dengan orang lain tetapi sanggup bermasam muka apabila berada bersama ahli keluarga.

 Ada juga segelintir yang sanggup berkorban wang, harta dan tenaga habis-habisan bagi membantu orang lain sedangkan ahli keluarga yang berada di hadapan mata menagih bantuan dan simpati kepada kita.

Saya tidak mengatakan ia salah tetapi alangkah baik dan indahnya jika kita terlebih dahulu menyanyangi dan memberi bantuan kepada insan terdekat dahulu dan barulah kita membantu orang lain. Mulakan dengan beramah mesra dengan ahli keluarga terlebih dahulu diikiuti dengan insan lain. Sama-samalh kita berusaha mengeratkan hubungan sillaturahim antara satu sama lain tanpa mebiarkan hubungan kekeluargaan kita goyah.

Kikis dan buang 

Apa yang perlu dikikis dan dibuang dalam mebina sebuah institusi keluarga bahagia ?

Ya, jawapannya sudah pasti perasaan dengki dan dendam adalah sifat negatif yang wajib dikikis dan dibuang dalam diri setiap individu dalam memastikan kekutuhan sesebuah ikatan.

Jangan biarkan hati kita diselimuti dengan perasaan dengki dan dendam sesama ahli keluarga sebaliknya digantikan dengan perasaan cinta dan sayang.

Jangan biarkan jiwa kita ditenggalami perasaan tidak puas hati dan memberontak ketika keinginan kita tidak dipenuhi sebaliknya digantikan dengan ketenangan dan kesabaran.

Lantas, akan wujudlah satu suasana yang harmoni dan aman tanpa sebarang anasir negatif kerana jiwa kita sentiasa dididik dengan sifat positif.

Senyum dan terimalah realiti kehidupan yang telah diaturkan oleh Allah.

Memaafkan dan memohon kemaafan

 Ramai yang menganggap memberi kemaafan atau memohon kemaafan itu amat sukar dan menunjukkan kita lemah apabila terpaksa mengalah.

tidak !

Bahkan dalam islam, ungkapan maaf itu sungguh mulia dan menunjukkan kita telah menang di sisi Allah. Malah turut melambangkan kejayaan kita dalam melawan hasutan syaitan yang direjam.

Oleh itu, lazimi lidah dengan ungkapan maaf lebih-lebih lagi sesama ahli keluarga.

Disaat kita tahu dan sedar apabila melakukan kesalahan, jangan berlengah lagi untuk menuturkan ungkapan maaf.

Disaat lincahnya mulut berbicara sehingga kita perasaan ada insan yang terluka, jangan malu dan segan untuk mengucapkan kata maaf.

Disaat mereka memohon kemaafan dengan kita, jangan sesekali kita bersikap ego sebaliknya maafkanlah mereka kerana maaf itu kunci kebahagian didunia dan akhirat.

Maafkanlah dan pohonlah kemaafan. Barulah bunga-bunga cinta dan sayang akan semakin mekar di halaman sebuah keluarga.

Kerana kita bersaudara

Jom kita sama-sama bangkit dan terus menyuburkan rasa sayang, cinta dan rindu sesama ahli keluarga kerana kita bersaudara.

Hargailah segala pengorbanan dan kasih sayang mereka sabaik mungkin kerana kita bersaudara.

Thank u for everything,


Assyratul,
rumahku syurgaka :)





Wednesday 30 December 2015

Saya dan 2015

Dalam tak sedar , tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya . Masa berputar begitu pantas ,kadangkala menyebabkan kita sering terleka diulit 'mimpi-mimpi' yang indah walhal ia dusta semata-mata.

Suka dan duka. Senyuman dan tangisan. Ketawa dan meraung. Itulah episod kehidupan kita sepanjang tahun 2015.

Jangan pernah menyesal atas kesilapan yang dilakukan. Jika ia baik , jadikan ia sebagai kenangan. Jika ia buruk , jadikan ia sebagai pengajaran. Tugas kita adalah belajar dari kesilapan.

Lupakan masa lalu yang mampu mengaburi impian dan harapan. Langkah dengan semangat baru untuk terus berjuang di bawah langit illahi.

Saya dan 2015.

Ya. Perjalanan saya dan 2015 terasa begitu pantas berlalu. Baru semalam rasanya saya daftar masuk ke sekolah sebagai pelajar paling senior dan kini tanpa disedari saya telahpun tamat menjadi seorang pelajar sekolah.

Sememangnya menjadi seorang pelajar sekolah perkara yang cukup indah terjadi dalam hidup saya. Berdamping dengan kawan, guru dan adik2 junior membuatkan saya belajar banyak perkara baharu.

Saya begitu bersyukur kerana masih berpeluang untuk 'berjalan ' bersama 2015. Walaupun jalan yang saya lalui tidak selalunya indah ditaburi bunga sahaja malah kadang-kadang saya juga pernah terpijak duri dan menyebabkan terluka.

Saya tahu dan saya percaya duri dan luka itu yang mengajar saya erti kehidupan sebenar sekaligus melahirkan jiwa yang semakin matang walaupun saya tidak matang sepenuhnya lagi. Hehe.

Markah peperiksaan jatuh merudum. Kalah dalam pertandingan. Menghadapi konflik dengan kawan dan junior. Memikul tanggungjwab yang berat atas jawatan yang dipegang. Terpaksa berdepan dengan orang yang tidak memahami kita.

Ya. Itu semua adalah masalah saya , awak dan kita. Tipu jika saya kata yang saya tidak pernah menangis. Saya menangis !

Menangis kerana tidak mampu membuka ikatan untuk menyelesaiakan masalah. Menangis kerana saya takut orang benci saya atas apa yang saya lakukan. Menangis kerana malu jatuh tersungkur dalam peperiksaan. Menangis kerana saya tidak dapat apa yang saya inginkan.

2015 bukanlah dilimpahi dengan lautan air mata sahaja tetapi juga dihiasi dengan berjuta kegembiraan.


Pelbagai peristiwa menarik yang memenuhi tahun 2015 saya. Alhamdulillah dan syukur. Ia adalah satu nikmat dan ujian daripada Allah supaya saya terus bangkit menjadi seorang hamba yang mentaatiNya.

Saya gembira dengan kelahiran puteri kakak saya yang diberi nama Sarah. Terharu mendengar khabar baik dari abang saya mengatakan isterinya sudah mengandung dan kini hampir menunggu saat bersalin. Suka dan teruja apabila lulus dalam addmath walaupun hanya cukup makan. Dan paling gembira apabila melihat insan tersayang turut gembira.

Itulah realiti kehidupan. Suka atau tidak, kita harus menempuh arus perjalanan hidup kita yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tahun 2015 mengajar saya tentang erti kehidupan yang sebenar. Dalam meniti usia yang semakin meningkat , minda saya perlu terbuka, jiwa saya harus dibajai dengan keimanan yang mantap agar saya sentiasa bersedia dalam melakar sebuah kehidupan yang lebih baik.

Terima kasih 2015.
Hadirmu membawa sejuta khabar gembira,
Walau diselit sedikit kesedihan.

Terima kasih 2015.
Hadirmu mengajar aku dalam mentafsir erti kehidupan,
Kemunculanmu mendidik aku untuk terus berdiri.

Terima kasih 2015.


Semoga tahun yang akan datang membawa rahmat dan barakah daripadaNya.


Assyratul,
30 Dec 15,
Rumahku Syurgaku








Thursday 24 December 2015

Rasulullah Pencerah Alam

Petang yang hening dihiasi dengan redupan matahari yang ingin terbenam. Angin menyapa diri membuatkan jiwa semakin tenang.

12 Rabiul Awal tahun gajah lahirlah insan mulia yang tinggi darjatnya di sisi Allah. Rasa syukur yang tidak terhingga kerana Allah telah mencipta manusia yang cukup luar biasa. Pembawa petunjuk bagi seluruh umat, penerang jalan dari kegelapan dan menghiasi dunia dengan cahaya yang cukup indah.

Ya Rasulullah,

Hadirmu membawa cahaya,

Menerangi gelap,

Menghiasi dunia,



Ya Rasulullah,
Kau pemimpin umat,

Pemimpin agung pembawa petunjuk,

Dilimpahi barakah dan rahmat Illahi.




Ya Rasulullah,

Kau sungguh istimewa ,

Akalmu cukup tajam, 

Merangka strategi

Dalam menentang musuh islam.



Ya Rasulullah,

Butir bicaramu bak mutiara,

Tingkah lakumu santun lagi mulia,

Kau contoh teladan terbaik

Buat manusia




Ya Rasulullah,

Kami rindu padamu,

Kami dambakan syafaatmu,

Sudikah engkau bersua muka dengan kami ?

Kerana itu impian tertinggi kami.



Salam Maulidur Rasul 



Rumahku syurgaku
12 rabiul awal 1437h




Friday 18 December 2015

tinta buat sahabat

Hari itu.

"Minta maaf kalau ada buat salah ye. Selalu la contact. Terima kasih untuk segalanya. Mesti awak rindu saya nanti kan." Itulah kata-kata terakhir yang keluar daripada mulut seorang sahabat saya.

Terakhir ? Mungkin ya dan mungkin kami akan berjumpa lagi. In sha allah. Moga-moga Allah permudahkan.

30 November 15

Kami telahpun tamat digelar sebagai pelajar sekolah memandangkan tamatnya peperiksaan SPM bagi tahun 2015. 

Sedihkah ? Gembirakah ? Sukakah ? Sebakkah ?

Semuanya bermain di dalam jiwa saya. Tidak tahu bagaimana ingin digambarkan perasaan pada waktu itu.

 Melihat sahabat-sahabat seperjuangan mengangkat beg-beg masing ke dalam perut kereta. Melihat mereka bergerak ke arah saya lalu menghulurkan salam. Kami masing-masing berpeluk. Menatap senyuman di wajah comel mereka. Tersenyum sambil melambai-lambai tangan ke arah saya.

Jiwa saya bagai direntap pilu. Tidak sanggup menghadapi perpisahan jasad dengan sahabat yang sentiasa menemani tika susah dan senang.

Ya , mereka adalah sahabat dunia akhirat saya !

Lama kami berjuang bersama-sama. Pahit manis, suka duka semua dikongsi dan diluahkan bersama. Walau ada sahaja cabaran dan rintangan, kami tetap bersatu dan 'satu kepala'.

Lumrah dan biasa jika dalam sebuah perhubungan antara sahabat ada sedikit selisih faham, umpat-mengumpat, kata belakang, perang dingin, perang mulut. Macam-macam ada. Cuma bezanya cara kita selesaikan semua itu bagi melihat hubungan persahabatan kita kekal terjalin dengan indah

Tapi ikatan persahabatan kami tidak pernah goyah kerana bendasing-bendasing negatif itu hanya sekejap sahaja masuk ke dalam ruang hubungan persahabatan kami.

Apa rahsianya ?

Ya. Saya mengakui sahabat-sahabat saya ini tidak pernah jemu mengungkap kata 'MAAF'

Itulah rahsianya persahabatan kami hanya dingin sementara. Tak lama sangat. Eh, ye k ? 

Saya memang tidak menafikan ungkapan indah itu sering kali hinggap di bibir mereka menyebabkan kadang-kadang saya cukup tersentuh. Keliru.

Kadang-kadang saya tahu saya yang salah tapi mereka dahulu yang datang kepada saya dan memohon maaf.

"minta maaf deh kalau ada buat salah"

"maaf pasal tadi. tak sengaja"

"eh, ada terasa dgn saya k ? minta maaf ye"

"bakpe ni. Sorry kalau saya buat awak jadi gini "

"takde niat pun nak kata gitu. maaf "

Itulah antara dialog yang masih berlegar-legar dalam fikiran saya. Orang kata ungkapan maaf itu perlu ikhlas. Dendam dan benci dibuang. Saya yakin mereka ikhlas. Dari renungan mata malah ada yang menangis memohon maaf sesama sendiri. Yakin mereka benar-benar memohon maaf dengan seikhlas hati.

Jujur saya katakan perkara yang paling saya takuti ialah apabila ada segelintir sahabat yang bersikap dingin terhadap saya. Tidak senyum apatah lagi menegur.

Saat itu jiwa saya tidak keruan. Fokus belajar hilang. Jika sewaktu peperiksaan dijalankan hanya 50% sahaja saya fikir tentang soalan. Sebahagian yang lain saya berfikir tentang mereka.

Saya takut jika kerana tingkah laku saya menyebabkan mereka berkelakuan begitu. Saya bimbang jika lincahnya bibir bertutur sehingga menyebabkan ada yang terasa.

Maafkan saya sahabat.

Dan perkara yang paling bahagia bagi saya dalam sebuah persahabatan adalah melihat mereka tersenyum riang, bergurau senda dan ketawa bersama.Itu adalah kenangan yang paling terindah dalam hidup saya.

Bahagia melihat sahabat asyik berceloteh tentang diri dan keluarga masing-masing. Geli hati bila teringat kembali saat-saat yang melucukan bersama mereka. Bagi saya tak perlu saya nak tengok rancangan lawak kerana kawan saya lebih lawak daripada pelawak-pelawak yang terkenal.

Mereka adalah penghibur saya ketika di sekolah bahkan hingga sekarang mereka tidak pernah berhenti mencuit hati saya tatkala kami ada 'whatsapp group' (ladies only) Itu adalah satu medan baharu yang merapatkan lagi ukhwwah antara kami.

Terima kasih sahabat.



Mereka bawa saya menuju Tuhan yang Esa.

Solat jemaah.

Walaupun tidak kerap tapi kami cuba sedaya upaya untuk solat berjemaah bersama-sama malah di dalam dorm yang tidak luas itu bukanlah satu alasan untuk kami tidak solat berjemaah.

Selepas solat diikuti pula dengan zikrullah dan alunan bacaan al-quran.

Saya bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang tidak liat untuk solat bahkan menjadikan al-quran sebagai peneman hidup.

Memandang wajah mereka sudah cukup membuatkan hati saya tenang.

Memori yang paling saya tidak pernah lupa adalah berjalan bersama sahabat saya ke surau sekolah. Walau mulut tidak pernah berhenti berbunyi merungut kerana penat berjalan memandangkan surau dengan asrma agak jauh dan kami terpaksa melalui jalan yang lagi jauh ketika hari hujan tapi sahabat saya tidak pernah mengajak saya untuk patah balik.

Teringat lagi, kami sentiasa berlari dengan memakai telekung kerana mengejar iman yang sudah hampir memberi salam.

Selepas solat maghrib, kami dihidangkan dengan kuliah maghrib daripada ustaz yusof. Ada yang fokus kepada kuliah. Ada yang berbual sesama sendiri malah ada yang tersengguk-sengguk dan tertidur (termasuk saya )


Saya rindu !


Maafkan saya sahabat.


Saya tidak mampu menjadi sahabat yang sentiasa menenangkan kalian kerana saya juga masih tercari-cari secebis ketenangan. Saya tidak mampu meniup semangat kalian sepanjang masa kerana saya juga pernah hilang semangat itu. Saya juga tidak menjadi penglipur khabar gembira kerana kalian terlebih dahulu memberi sejuta khabar bahagia kepada saya.

Tapi percayalah sahabat, biar apapun kelemahan saya , ingin sekali saya ke syurga dengan kalian.

Terima kasih sahabat :)

Lillahi , kalian sahabat saya dunia akhirat !

Buatmu sahabat,
Ku ingin kau tahu,
Aku mencintaimu kerana Allah.

Ayuh berjuang mencari redha Illahi,
Agar kita mampu berpimpin tangan ke syurgaNya.


semoga ikatan ini terus terjalin dengan kasih sayang dan rahmat daripadaNya




Assyratul,
18 dec 15
Rumahku Syurgaku